Kucing : Di mata semuanya comel. Tapi...
Kenapa ada golongan yang tak suka kucing?
Bila bercerita tentang kucing ramai akan berkata bela kucing ni bagus, kucing datang bawa rezeki, bela kucing adalah terapi baik untuk kesihatan dan macam-macam lagi. Tapi tahukah anda ada juga golongan yang tidak senang dengan kehadiran haiwan comel ini?
Sebagai pencinta kucing mungkin kita tidak perasan kehadiran golongan ini kerana bagi pencinta kucing agak mustahil untuk terima ada orang tak suka kucing betul tak? Malangnya golongan yang tak suka kucing ini memang wujud. Ada yang tak suka langsung tengok kucing. Ada juga yang suka tapi tak boleh terima kehadiran kucing dalam hidupnya. Golongan ini ada di sekeliling kita dan kadang-kadang kita tak perasan kehadiran kucing kita mengganggu kehidupan dan emosi mereka. Di sini saya senaraikan 5 golongan yang tak suka kucing.
1. Penggeli
Ada orang memang suka lihat kelincahan haiwan ciptaan tuhan ini. Haiwan comel ini memang suka berada di sekeliling manusia. Antara aksi yang selalu kita lihat ialah haiwan ini suka menyondol-nyondol dan menggeselkan badannya pada kaki kita. Bagi sesetengah orang, ini adalah perkara biasa dan amat ditunggu. kegebuan bulu kucing amat menyenangkan jiwa. Namun bagi mereka yang senang merasa geli hal ini amat tidak disukai. Jadi mereka lebih suka melihat kucing dari jauh atau menjadikan gambar kucing sebagai gambar profil telefon dari berada dekat dengan kucing.
2. Masalah Kesihatan
Kucing boleh menjadi salah satu terapi yang baik bagi merawat emosi setelah penat bekerja. Balik sahaja ke rumah terus bermain dengan kucing untuk memenangkan jiwa. Inilah rutin bagi pencinta kucing atau yang lonely dan single mingle. Namun begitu, tidak bagi yang ada masalah kesihatan. Bulu kucing yang gugur amat merbahaya bagi mereka yang ada penyakit ashma atau semput. Buku kucing juga menjadi tempat berkumpulnya hama jika kucing tidak dijaga dengan rapi. Kotoran yang dibawa boleh kucing setelah bermain di luar juga boleh menjadi punca masalah kepada penghidap penyakit kulit atau eczema. Walaupun teringan untuk memeluk dan tidur bersama kucing namun masalah kesihatan seperti ini boleh menyebabkan mereka tergolong dalam golongan tidak suka kucing.
3. Sejarah Hitam
Bukan semua golongan yang tidak suka pada kucing ini memang tidak suka kucing sejak kecil. Ada juga di antara mereka yang pernah membela dan gurau senda dengan kucing hingga tidur pun bersama. Tapi sekarang tidak lagi kerana sejarah hitam yang mereka lalui. Ada yang pernah dicakar oleh haiwan kesayangan sendiri semasa kecil meninggalkan parut dibadan dan dihati mereka. Ada yang sudah trauma untuk mendekati kucing. Ada yang berasa sedih setiap kali melihat kucing kerana kucing kesayangan sendiri telah mati dilanggar lori. Ada juga yang berhabis-habisan untuk mebela kucing dengan sangkar ribu riban, makanan mahal dan pakej penjagaan di spa kucing yang dibayar setiap bulan. Namun akhirnya kucing tak balik-balik kerana sudah melekat di rumah jiran. Sejarah hitam seperti ini terkadang menjadi punca kenapa mereka tidak lagi sanggup membela kucing.
4. Kebersihan
Kucing adalah haiwan yang sangat manja. Tidak seperti haiwan peliharaan yang lain, kucing suka menyondol-nyondol, menggeselkan badan pada manusia, makan di riba, tidur di katil, tengok tv pun sama-sama. Kalau bela kerbau tak dapat la bermanja-manja macam bela kucing betul tak? Tapi bukan semua tentang kucing itu indah. Ada juga yang tak seronok iaitu isu kebersihan. Bulu kucing akan kerap gugur dan melekat pada pakaian, tempat tidur dan sofa. Kalau bela kucing jantan, sudah menjadi lumrah mereka suka tanda kawasan dengan air kencing. Ada juga kucing yang tidak terdidik suka berak merata-rata. Lagi berat isunya jika jiran datang memekik di depan rumah kerana Si Comel kita dah jadi Si Bangsat kerana berak dan kencing di rumah jiran. Kalau nak bela kucing, inilah antara perkara yang tuan kucing perlu sanggup hadapi.
5. Sibuk
Kucing sering dijadikan sebagai simbol kecomelan. Comelnya kucing ini sehingga menjadi antara haiwan paling banyak gambarnya di media sosial. malah ada juga kucing yang menjadi selebriti di Tiktok dan Instagram. Namun untuk membela haiwan comel ini memerlukan komitmen masa. Ada kalanya kucing perlu di bawa ke klinik. Ada masanya kita bekerja di luar kawasan atau balik kampung. Rutin penjagaan kucing seperti memandikan kucing, beri makan, membeli keperluan kucing dan sebagainya. Di kala masa terasa amat pendek dan singkat ini, ramai orang tidak dapat memberi sepenuh perhatian kepada haiwan peliharaan. Buktinya, lihatlah jutawan seperti Gary Ross Dahl yang kaya raya kerana menjual batu sebagai haiwan peliharaan. Bela batu lebih mudah kerana tiada keperluan yang perlu disediakan. Kesibukan kerja pada zaman ini menyebabkan mereka lebih memilih untuk tidak membela haiwan termasuklah kucing.
Kesimpulannya, bukan semua orang boleh membela kucing dan bukan semua yang tak suka kucing itu memang anti dengan kucing. Jika kita hidup bermasyarakat maka perlulah beri perhatian kepada golongan seperti ini kerana adab hidup berjiran sangatlah mustahak untuk kita jaga.

Comments
Post a Comment